07 – 55 30308 corporate@utm.my

Corporate Trademark

Polisi dan Garis Panduan Penggunaan dan

Pelesenan Cap Dagangan Universiti Teknologi Malaysia

1.0          PENGENALAN

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mendaftarkan nama dan logo rasminya sebagai Cap Dagangan. Nama dan logo rasmi UTM dilindungi oleh Akta Cap Dagangan 1976 dan Peraturan Cap Dagangan 1997. Sehubungan dengan itu, Unit Komunikasi Korporat dan Penjenamaan di bawah Pejabat Hal Ehwal Korporat telah dipertanggungjawabkan menguruskan hal-ehwal penggunaan dan pelesenan Cap Dagangan UTM untuk semua tujuan.

 

1.1       Matlamat dan tujuan polisi pelesenan Cap Dagangan UTM adalah seperti berikut :

 (i)            Mewujudkan sistem kawalan yang berkesan ke atas penggunaan Cap Dagangan UTM termasuk  logo, teks nama Universiti Teknologi Malaysia dan singkatan UTM (rupataip) dan warna rasminya;

 (ii)           Melindungi logo, teks nama Universiti Teknologi Malaysia dan singkatan UTM (rupataip) dan warna rasminya dan semua Cap Dagangan yang berkaitan dengannya dari dieksploitasi;

 (iii)          Mewujudkan mekanisma yang sistematik bagi memproses dan memberikan kelulusan penggunaan logo, teks nama Universiti Teknologi Malaysia dan singkatan UTM (rupataip) dan warna rasminya kepada pihak ketiga;

 (iv)         Memastikan UTM menjana pendapatan royalti yang berpatutan dan sah di sisi undang-undang dari penggunaan komersil logo, teks nama Universiti Teknologi Malaysia dan singkatan UTM (rupataip) dan warna rasminya;

 (v)          Mempromosikan UTM secara konsisten dan memelihara nama baik, imej, kredibiliti dan reputasinya melalui penggunaan logo, teks nama Universiti Teknologi Malaysia dan singkatan UTM (rupataip) dan warna rasminya secara wajar dan bersesuaian;

 (vi)         Memastikan Cap Dagangan UTM termasuk logo, teks nama Universiti Teknologi Malaysia dan singkatan UTM (rupataip) dan warna rasminya sentiasa mencerminkan kualiti dan kedudukan yang tinggi demi memelihara prestijnya sebagai sebuah insititusi pengajian tinggi yang unggul di Malaysia dan peringkat global; dan

 (vii)        Memastikan hanya produk-produk yang berkualiti menggunakan logo, teks nama Universiti Teknologi Malaysia dan singkatan UTM (rupataip) dan warna rasminya UTM.

 

2.0       TAFSIRAN

 

2.1       “Cap Dagangan” adalah apa-apa tanda yang membezakan barangan dan perkhidmatan daripada seorang peniaga dengan peniaga-peniaga yang lain. Cap Dagangan boleh terdiri daripada perkataan, logo, simbol, gambar, nama, huruf, nombor atau kombinasi daripada unsur-unsur tersebut. Oleh yang demikian, logo, teks nama Universiti Teknologi Malaysia dan singkatan UTM (rupataip) dan warna rasminya adalah dianggap sebagai Cap Dagangan UTM.

 2.2       “Cap Perkhidmatan” mempunyai unsur-usur asas yang sama seperti Cap Dagangan, kecuali ianya membezakan sesuatu produk yang berasaskan perkhidmatan, bukan barangan nyata.

 2.3       “Pembekal atau Vendor Berlesen” bermakna syarikat yang telah mengadakan perjanjian dengan UTM bagi memperolehi lesen untuk mengeluarkan dan memperniagakan barangan menggunakan Cap Dagangan UTM (logo, teks nama Universiti Teknologi Malaysia dan singkatan UTM (rupataip) dan warna rasminya UTM).

3.0       PERNYATAAN POLISI

 

3.1       Cap Dagangan UTM adalah termasuk tetapi tidak terhad kepada perkataan logo, teks nama Universiti Teknologi Malaysia dan singkatan UTM (rupataip) dan warna rasminya.

 3.2       Ianya dilindungi oleh Akta Cap Dagangan 1976 dan Peraturan-Peraturan Cap Dagangan 1997 (Pindaan 2001) dari sebarang penyalahgunaan dan eksploitasi oleh pihak selain dari pemilik Cap Dagangan ini.

 3.3       Apa jua Cap Dagangan (logo, teks nama Universiti Teknologi Malaysia dan singkatan UTM (rupataip) dan warna rasmi) yang berkaitan dengan UTM tidak boleh digunakan tanpa kelulusan bertulis oleh UTM dan adalah tertakluk kepada polisi dan garis panduan pelesenan ini.

 3.4       Hanya Pembekal atau Vendor Berlesen dibenarkan mengeluarkan secara komersil dan memperniagakan barangan yang menggunakan nama dan logo rasmi UTM.

 3.5       Syarikat-syarikat yang ingin menggunakan logo, teks nama Universiti Teknologi Malaysia dan singkatan UTM (rupataip) dan warna rasmi UTM bagi tujuan promosi dalam apa jua bentuk, perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada UTM melalui Pejabat Hal Ehwal Korporat. Dalam kes-kes tertentu, kadar royalti atau yuran penggunaan akan dikenakan.

 3.6       Kebenaran penggunaan atau lesen yang diberikan adalah bagi sesuatu tempoh terhad yang dinyatakan secara bertulis atau melalui perjanjian; tiada kelulusan terbuka diberikan.

 3.7       Kriteria penggunaan dan piawaian rekabentuk grafik nama dan logo rasmi yang diterimapakai diperjelaskan di dalam Perwajahan Imej Korporat UTM.

 3.8       Apa jua Cap Dagangan (termasuk logo, teks nama Universiti Teknologi Malaysia dan singkatan UTM (rupataip) dan warna rasminya UTM) tidak boleh digunakan sama sekali mahu pun diperdagangkan dengan apa jua cara sekali pun untuk tujuan tidak bermoral dan menyalahi undang-undang seperti kegiatan jenayah, militant, subversif, keganasan, politik, perkauman, dan mempromosikan barangan terlarang seperti senjata, minuman keras, produk dari tembakau, dadah, dan bahan-bahan berunsur seks dan lucah.

 3.9       UTM berhak untuk menghalang mana-mana individu dan entiti yang menyalah gunakan nama dan logo rasmi UTM, atau pun menghentikan penggunaan yang memudaratkan UTM, menyalahi undang-undang, atau dianggap bertentangan dan tidak konsisten dengan reputasi, imej dan matlamatnya sebagai sebuah institusi pengajian tinggi awam berprestij.

 3.10     Eksplotasi atau penggunaan nama dan logo rasmi UTM tanpa kebenaran bertulis Universiti untuk tujuan komersil adalah dianggap tidak sah di sisi undang-undang dan adalah satu perbuatan melanggar hakcipta, oleh yang demikian UTM berhak mengambil tindakan undang-undang di bawah peruntukan yang sedia ada, termasuk tetapi tidak terhad kepada, tindakan merampas barangan berkenaan.

4.0       PEMAKAIAN

 

4.1       Polisi dan garis panduan ini dikuatkuasakan ke atas semua jabatan, fakulti, entiti, staf, organisasi dan persatuan yang diiktiraf di dalam UTM.

 4.2       Penguatkuasaan ke atas organisasi luar seperti pembekal, vendor dan syarikat-syarikat adalah melalui perjanjian pelesenan dengan UTM melalui Pejabat Hal Ehwal Korporat.

 

5.0       CAP DAGANGAN BERDAFTAR

 

5.1       Cap Dagangan berikut adalah didaftarkan dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) :

 Logo rasmi UTM; “Universiti Teknologi Malaysia”; “UTM”

 Logo-UTM (1)

5.2       Cap Dagangan yang didaftarkan adalah sentiasa dikemaskini. Senarai lengkap Cap Dagangan boleh diperolehi dari Unit Harta Intelek, Pusat Inovasi dan Komersilisasi.

 5.3       Cap Dagangan (termasuk nama-nama lain, simbol, rekabentuk grafik yang melambangkan UTM) adalah dilindungi oleh undang-undang Malaysia (di bawah Akta Cap Dagangan 1976 dan Peraturan-Peraturan Cap Dagangan 1996).

6.0       PROSEDUR

 

6.1       Jabatan, Fakulti dan Entiti UTM

6.1.1    Semua jabatan, fakulti, organisasi dan persatuan-persatuan yang diiktiraf boleh menggunakan nama dan logo UTM untuk urusan rasmi pengurusan, akademik dan aktiviti harian tanpa perlu memohon kelulusan dari Universiti. Sebagai contoh, pengunaan pada barangan rasmi seperti kepala surat rasmi, sampul surat rasmi, kad nama, kertas kerja, tesis, jurnal dan laporan rasmi.

6.1.2    Penggunaan selain dari untuk tujuan rasmi yang dinyatakan di atas dan berunsurkan komersil perlu mendapat persetujuan bertulis Universiti. Sebagai contoh, pengedaran poster, katalog, brosur, sepanduk dan iklan untuk aktiviti-aktiviti promosi.

6.1.3 Semua Jabatan, fakulti dan entiti dalam UTM yang ingin mengeluarkan rekabentuk barangan menggunakan Cap Dagangan UTM perlu mendapatkan kelulusan bertulis daripada Pejabat hal Ehwal Korporat.

6.1.4    Kelulusan yang diberikan adalah bukan pemberian hak untuk mengeluarkan barangan. Proses perolehannya perlu dilakukan mengikut prosedur yang dikuatkuasakan oleh Universiti dengan mendapatkan sebutharga dan bekalannya dari Vendor-Vendor Berlesen. Vendor Berlesen hanya dibenarkan mengeluarkan barangan tersebut setelah rekabentuk akhir diluluskan oleh UTM melalui Pejabat Hal Ehwal Korporat.

 6.1.5    Melainkan untuk tujuan rasmi dan aktiviti harian, Cap Dagangan UTM harus digunakan dengan penuh tanggung jawab untuk tujuan tertentu yang diluluskan secara bertulis oleh UTM melalui Pejabat Hal Ehwal Korporat, dan rekabentuknya tidak boleh diubahsuai sewenang-wenangnya tanpa persetujuan bertulis.

 6.1.6    Bahan-bahan institusional dan bukan komersil (seperti media cetak atau komunikasi elektronik termasuk laman web rasmi dan Internet) yang diterbitkan oleh Universiti untuk urusan rasmi Universiti perlu memenuhi kriteria yang telah ditetapkan oleh Pejabat Hal ehwal Korporat.

 6.2       Penggunaan Komersil

6.2.1    Penggunaan komersil nama dan logo rasmi UTM adalah bermakna menggunakannya pada produk-produk untuk diperniagakan atau mempunyai nilai komersil. Sebagai contoh, barangan seperti cenderahati korporat, barangan premium, pakaian, pelekat kenderaan dan perhiasan. Barangan komersil diperniagakan melalui kaedah-kaedah seperti berikut:

 (i)         Jualan borong kepada pengedar di dalam kampus atau kepada peruncit;

 (ii)        Jualan terus kepada pelanggan individu melalui majlis-majlis tertentu seperti pameran, ekspo, seminar dan lain-lain;

 (iii)       Jualan kepada umum pada majlis-majlis rasmi seperti pesta konvokesyen dan acara sukan berbagai peringkat;

 (iv)       Jualan runcit oleh persatuan alumni atau kumpulan pelajar; dan

 (v)        Jualan kepada umum bagi tujuan projek pengumpulan dana atau tabung derma yang diluluskan oleh UTM.

6.3       Promosi dan Pengiklanan

 6.3.1    Produk-produk menggunakan nama dan logo rasmi UTM untuk tujuan promosi perniagaan, pengiklanan dan pemasaran seperti papan tanda, sepanduk, poster dan barangan yang bekaitan dengannya samada dijual atau pun diedarkan secara percuma adalah dianggap sebagai komersil dan tertakluk kepada kebenaran dan pelesenan Cap Dagangan UTM.

 

6.4       Perolehan Barangan

6.4.1    Kaedah perolehan barangan yang menggunakan nama dan logo rasmi UTM adalah seperti berikut :

(i)            Stor Pusat UTM bagi barangan harian;

(ii)           Bagi barangan khusus yang tidak dapat dibekalkan oleh Stor Pusat, kaedahnya menggunakan prosedur perolehan yang sedia ada melalui bahagian Perolehan Jabatan Bendahari untuk membuat pembelian daripada Pembekal atau Vendor Berlesen; dan

(iii)          Sekiranya barangan berkenaan tidak dapat dibekalkan oleh Vendor Berlesen yang sedia ada, sila maklumkan UTM Holdings untuk memohon kebenaran, proses perlantikan dan pelesenan pembekal atau vendor pilihan mereka sebagai Vendor Berlesen.

 7.0       PERLAKSANAAN DAN PENGUATKUASAAN

7.1       Pemegang lesen perlu memaklumkan kepada UTM lokasi pengeluaran barangan berserta alamat lengkap, nombor telefon, e-mail dan nama pegawai syarikat untuk dihubungi. Pegawai atau wakil yang dilantik oleh Universiti berhak membuat pemeriksaaan ke atas loji pengeluaran vendor-vendor yang diberikan lesen.

 7.2       Bagi memastikan keberkesanan polisi ini, setiap produk yang dikeluarkan untuk Universiti (atau fakulti, jabatan, organisasi atau kelab-kelab yang diiktiraf) yang menggunakan Cap Dagangan UTM (nama, simbol, lakaran grafik dan logo rasmi) perlu dikeluarkan oleh Pembekal atau Vendor-Vendor Berlesen mengikut prosedur yang dijelaskan di perenggan 6.4.1 di atas.

 7.3       Produk komersil (untuk diperniagakan) akan tertakluk kepada kadar royalti yang diluluskan oleh Universiti.

 8.0       PELESENAN DAN ROYALTI

 

8.1       Mana-mana individu, entiti perniagaan, atau organisasi yang ingin menggunakan nama dan logo rasmi UTM untuk tujuan komersil perlu mendapatkan lesen. UTM telah melantik entiti perniagaannya iaitu UTM Holdings Sdn Bhd sebagai agen pelesenan Cap Dagangan UTM.

8.2       UTM secara prinsip mengeluarkan tiga jenis lesen berikut, tetapi berhak mengeluarkan jenis lesen baru sekiranya perlu:

 (i)            Lesen Runcit Tradisional (Traditional Retail)

 Pengeluaran produk-produk menggunakan nama dan logo rasmi UTM untuk jualan kepada peruncit.

 (ii)          Lesen Atas Permintaan (On-Demand)

 Dikeluarkan kepada syarikat bagi pengeluaran sesuatu barangan khusus atas permintaan jabatan, fakulti, persatuan yang diiktiraf atau organisasi di UTM (bukan komersil). Lesen dikeluarkan terhad untuk sesuatu kegunaan tertentu sahaja.

 (iii)       Lesen Kegunaan Promosi (Promotional Use)

 Lesen untuk menggunakan nama dan logo rasmi UTM untuk tujuan komersil tempoh masa terhad sahaja.

8.3       Sesuatu produk adalah tertakluk kepada royalti atau yuran sekiranya nama dan logo rasmi UTM digunakan dalam situasi berikut:

 (i)            Produk adalah untuk diperniagakan; atau

 (i)           Produk berkenaan mempromosikan sesuatu acara atau majlis di mana yuran dikenakan ke atas peserta; atau

 (iii)          Cap Dagangan, nama, simbol, atau logo pihak ketiga digunakan bersama nama dan logo rasmi UTM.

 

9.0       PENGECUALIAN ROYALTI

 

9.1       Pengecualian dari royalti atau yuran diberikan apabila produk menggunakan Cap Dagangan UTM adalah semata-mata untuk mempromosikan program atau pun acara akademik dan pengajian, atau aktiviti-aktiviti lain bagi memantapkan kecemerlangan akademik dan misi UTM.

9.2       Program akademik dan pengajian adalah merangkumi, tetapi tidak terhad kepada, kuliah, kursus, seminar, bengkel, dan aktiviti-aktiviti lain seumpamanya yang ditaja sepenuhnya oleh jabatan, fakulti, kolej, institiut, bahagian, program atau perkhidmatan di UTM.

9.3       Pengecualian royalti diberikan secara bertulis, namun sumber perolehan barangan yang berkaitan mestilah dari Vendor-Vendor Berlesen.