07 – 55 30308 corporate@utm.my

JENAMA UTM

 

 

Jenama bukan sekadar nama, logo, produk atau perkhidmatan, malah ia adalah lebih dari itu, ia adalah satu identiti, yang dapat dilihat melalui setiap gerak-geri dan cara berkomunikasi. Itulah keunikan yang akan membuatkan UTM berbeza. Secara luaran, keupayaan UTM memenuhi apa saja bentuk keperluan serta kehendak pemegang kepentingan (stakeholder), menggambarkan kita adalah sebagai sebuah pasukan. Apabila UTM berjaya menunaikan kehendak dan keperluan ini dalam segala aspek dan aktiviti, maka UTM akan memperolehi kesetiaan dan penghargaan yang berterusan daripada pelanggannya.

Panduan ini diwujudkan adalah untuk mencapai objektif yang berikut :-

 i)   Sebagai rujukan perihal penggunaan logo, teks nama “Universiti Teknologi Malaysia” dan singkatan UTM (typeface) dan warna dalam semua representasi logo UTM,
ii)  Menyediakan spesifikasi teknikal bagi setiap elemen

 

asas identiti korporat UTM,
iii) Memastikan keseragaman penggunaan logo, typeface dan warna di setiap jabatan/fakulti di dalam UTM,
iv) Sebagai panduan penggunaan identiti korporat pada bahan pencetakan promosi dan hebahan UTM dalam memastikan keseragaman bahan pencetakan UTM dari segi rupa dan gaya (look and feel) serta penerbitan dan persembahan UTM yang tersendiri,
v) Sebagai panduan pengisian dan menyediakan bahan hebahan dan promosi.

  1. 1.       Identiti Korporat UTM

 Identiti Korporat adalah salah satu komponen imej dalam membentuk strategi berkesan bagi memperkenalkan universiti. Logo UTM hendaklah digunakan secara konsisten dalam semua bahan promosi termasuk bahan bercetak dan elektronik.  Tanggungjawab mempromosikan imej korporat secara seragam dan konsisten adalah tanggungjawab semua Pusat Tanggungjawab (PTJ).

Imej UTM adalah terdiri dari 2 komponen seperti berikut dan kombinasi ini membentuk logo UTM yang lengkap :-

i)  perletakan lambang (emblem); dan
ii)  teks nama serta singkatan nama (typeface) UTM di sebelah kanan lambang UTM.

Cap Dagangan UTM yang terdiri daripada logo, teks nama “Universiti Teknologi Malaysia” dan singkatan “UTM” telah pun didaftarkan di bawah kelas-kelas berikut:-

 i) Kelas 16 – bahan-bahan promosi seperti brosur;
ii) Kelas 17 – barangan saintifik;
iii) Kelas 41 – pendidikan; dan
iv) Kelas 42 – penyelidikan.

 Logo dan imej setiap jabatan/fakulti dari aspek perletakan lambang (emblem) dan typeface UTM di sebelah kanan lambang UTM diiringi nama jabatan/fakulti adalah seperti contoh berikut.

 Representasi logo seharusnya tidak kurang daripada 4.5 cm lebar dalam jarak mengufuk/melintang (horizontal) untuk memastikan keterlihatan dan gambaran ciri-cirinya yang jelas. Tiada had maksima representasi tetapi saiz yang dibesarkan haruslah mengikut penyepaduan skala. (Sila guna kekunci shift apabila menyeret pensaizan atau menggunakan peratusan yang sama apabila menggunakan alat pengukur)

  1. 2.       Warna Korporat UTM

 

Variasi warna logo UTM adalah seperti berikut :-

i)  Merah pulasan (maroon) dan emas (gold); dan
ii)  Apabila warna maroon dan gold tidak digunakan, logo UTM boleh diperlihatkan dalam skala kelabu (grayscale), hitam atau putih.

Apabila memilih warna, adalah penting untuk menimbangkan pilihan yang terbaik untuk memberi tumpuan utama kepada maklumat yang jelas, berkesan dan melengkapi imej yang dipilih. Perbezaan yang ketara antara warna atau kegelapan teks dan latar belakang perlu dijelaskan. Warna yang gelap pada teks dengan latar belakang yang putih atau pudar adalah yang paling mudah dibaca. Warna putih pada teks adalah paling sesuai dengan latar belakang yang gelap.

Logo UTM berwarna maroon dan gold, dan warna tunggal (reversed colour)boleh digunakan dengan latarbelakang fotografi yang mempunyai perbezaan warna yang jelas dan ketara.

Sila layari corporateaffairs.utm.my/utm-identity

 

 

  1. 3.       Brand Promise/ Janji Jenama

 Lanskap pendidikan tinggi di seluruh dunia sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam menghadapi persekitaran pendidikan tinggi global yang dinamik. Sehubungan dengan itu institusi pengajian tinggi perlu menilai, mengkaji dan mensejajarkan model operasi semasa. Model transformasi yang pragmatik dapat memupuk dan memacu kecemerlangan universiti untuk terus kekal relevan dan berdaya saing bukan sahaja dalam penjanaan dan penghayatan ilmu malah untuk pembangunan sosio-ekonomi dan penjanaan nilai sesuai dengan hasrat kerajaan untuk memacu negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi.

Sehubungan itu, janji jenama Universiti Teknologi Malaysia telah disejajarkan untuk menggambarkan strategi, arah tuju dan sasaran universiti  yang menumpukan kepada tiga aspek berikut :-

i)  Inovatif iaitu pendekatan strategik dalam berhadapan dengan transformasi yang lebih dinamik untuk kekal relevan dan berdaya saing dalam persekitaran global yang semakin mencabar,

 ii) Entrepreneurial iaitu minda keusahawanan dan penglibatan strategik  yang unik, luar biasa dan bermakna ke arah akademia baru yang mampu mencipta nilai dan berimpak tinggi,

 iii) Global di mana keperluan kepada perspektif global perlu di dalam membina persepakatan dan hubungan UTM dengan rakan antarabangsa secara strategik untuk  manfaat bersama ke arah pencapaian yang boleh meningkatkan imej UTM di peringkat global.

 

Dalam Bahasa Melayu

Dalam Bahasa Inggeris

Spesifikasi :

  1.  Jenis fon yang digunakan adalah Calibri.
  2. Semua perkataan yang digunakan adalah terdiri daripada huruf kecil.
  3. Saiz fon adalah mengikut kesesuaian reka bentuk.
  4. Saiz simbol titik/noktah di antara perkataan adalah 3 point lebih daripada saiz fon yang digunakan.
  5. Perletakkan simbol titik/noktah adalah sama paras dengan jatuh perkataan .
  6. Kedudukan simbol titik/noktah mestilah berada di tengah-tengah antara dua perkataan dan diselangi dengan satu ruang/jarak (spacebar).
  7. Untuk urusan surat menyurat seperti surat rasmi, emel, memo dan sebagainya, penggunaan warna fon adalah hitam.

Sila layari corporateaffairs.utm.my/utm-identity

 

  1. 4.       Tagline/ Slogan UTM

 

Menjana Minda Kreatif dan Inovatif

 

Slogan “Menjana Minda Kreatif dan Inovatif” menggambarkan dasar dan nilai dalam budaya akademik dan ekosistem intelektual UTM ke arah pembentukan universiti penyelidikan yang berteraskan inovasi. Pengurusan UTM melihat kreativiti dan inovasi adalah merupakan elemen utama yang menggerakkan fungsi dan operasi organisasi.

Kreativiti merujuk kepada suatu aktiviti yang menghasilkan idea-idea baru, pendekatan atau tindakan yang berasaskan inovasi. Proses tersebut akan menghasilkan idea kreatif dan diaplikasikan dalam kehidupan yang amat bermakna, lestari dan berharga.

Kreativiti dan inovasi menjana kemampuan berfikir yang luar biasa menerusi pelbagai perspektif yang kritis. Pengurusan universiti yakin kreativiti seluruh staf dan mahasiswa boleh digarap untuk memangkinkan inovasi. Inovasi akan dianggap berjaya apabila idea-idea kreatif yang bermanfaat tersebut dapat diaplikasikan dalam organisasi.

Justeru, kreativiti yang diusahakan secara individu atau berkumpulan adalah merupakan titik permulaan inovasi. Inovasi menggambarkan keseluruhan proses organisasi, menjana idea baru yang kreatif dan mengaplikasikannya dalam bentuk produk, perkhidmatan dan amalan terbaik yang bermanfaat lagi praktikal. Sesungguhnya, kreativiti dan inovasi mampu menjadikan UTM terus berdaya saing dan relevan.

  1. 5.      Penjenamaan Semula Nama “UTM International Campus” Kepada “UTM Kuala Lumpur”

Nama UTM International Campus sebelum ini adalah dikenali sebagai UTM City Campus.  Namanya telah dijenamakan semula sebagai International Campus kerana peranan dan lokasinya yang strategik untuk menjalankan aktiviti-aktiviti pengantarabangsaan dan penumpuan kepada entiti mahasiswa antarabangsa yang mengikuti pengajian pasca siswazah di Kuala Lumpur.

Penjenamaan semula nama “UTM International Campuskepada “UTM Kuala Lumpur” ialah untuk mencapai keseragaman penggunaan nama bandaraya sebagai lokasi untuk kedua-dua kampus iaitu “UTM JOHOR BAHRU dan “UTM KUALA LUMPUR. Keseragaman atau konsistensi akan dapat meningkatkan reputasi dan kredibiliti universiti.

Jenama global dalam konteks inisiatif pengantarabangsaan menerusi kerjasama strategik, entiti mahasiswa antarabangsa dan lain-lain seharusnya dilihat dari sudut perspektif UTM secara keseluruhannya samada di kampus Kuala Lumpur mahupun di Johor Bahru. Pembinaan reputasi bercitra global kedua-dua kampus ini dapat membina keyakinan dan jaringan kerja yang lebih mantap dan kukuh. Kepentingan penjenamaan yang melibatkan usaha menaikkan nama utama sebagai jenama besar dalam akademia di persada antarabangsa harus dilihat sebagai satu matmalat yang jitu.

6.    Panduan pengisian bahan pencetakan promosi dan hebahan

 i) Tema kandungan bahan pencetakan promosi dan hebahan mestilah bersesuaian dengan aktiviti/produk/mesej yang ingin disampaikan. Bahan pencetakan promosi dan hebahan yang dibuat tidak boleh menyalahgunakan kepercayaan atau mengeksploitasikan pengetahuan dan pengalaman pengguna. Contohnya,”Kami pasti anda mendapat A dalam semua subjek”. Bahan pencetakan promosi dan hebahan juga tidak boleh menentukan atau typecast sesuatu kaum/bangsa atau jantina menurut pekerjaan, nilai-nilai tradisi dan latar belakang.

ii) Bahan pencetakan promosi dan hebahan mestilah mengandungi penyataan maklumat yang tepat, benar, jelas, terkini dan boleh dibuktikan. Bahan pencetakan promosi dan hebahan juga tidak boleh mengandungi pernyataan yang mengelirukan atau tidak boleh dibuktikan

iii) Kandungan bahan pencetakan promosi dan hebahan mestilah menggalakkan kepada amalan berbudi bahasa dan nilai-nilai murni antara pelbagai lapisan umur dan kaum/bangsa di UTM khasnya dan Malaysia amnya. Pernyataan atau persembahan ilustrasi yang memberi gambaran positif terhadap pelbagai budaya masyarakat di UTM khasnya dan Malaysia amnya adalah digalakkan.

iv) Pernyataan atau persembahan ilustrasi bahan pencetakan promosi dan hebahan mestilah mengambilkira sensitiviti masyarakat pelbagai kaum/bangsa di UTM khasnya dan Malaysia amnya tanpa unsur-unsur diskriminasi sosial.

v) Persembahan ilustrasi bahan pencetakan promosi dan hebahan yang memaparkan wajah-wajah pelbagai kaum/bangsa di UTM khasnya dan Malaysia amnya adalah digalakkan.

vi) Kandungan yang memberikan gambaran positif persekitaran di UTM khasnya dan Malaysia amnya adalah digalakkan.

vii) Elak dari menggunakan persembahan ilustrasi dengan latar belakang yang kompleks dan rumit kerana penggunaan imej yang dominan adalah lebih jelas dan memberi kesan. Perbezaan warna latar belakang dan ilustrasi yang hendak ditonjolkan perlulah jelas dan ketara.

viii) Pernyataan atau persembahan ilustrasi bahan pencetakan promosi dan hebahan mestilah seiring dengan prinsip-prinsip Rukun Negara dan Dasar Kerajaan.

ix) Kandungan bahan pencetakan promosi dan hebahan mestilah menggunakan bahasa persuratan yang betul serta bertepatan dengan persembahan ilustrasi yang dipaparkan.

x) Penggunaan Bahasa Kebangsaan hendaklah dipastikan betul dan tepat dari segi penggunaan perkataan, susunan ayat, ejaan, tata bahasa dan sebagainya. Penggunaan bahasa yang betul hendaklah sentiasa merujuk kepada Dewan Bahasa dan Pustaka.

xi) Setiap bahan pencetakan promosi dan hebahan hendaklah dalam Bahasa Kebangsaan sama ada dengan sendirinya atau bersama dengan mana-mana bahasa lain.

xii) Jika Bahasa Kebangsaan digunakan bersama bahasa lain dalam bahan pencetakan promosi dan hebahan, perkataan-perkataan dalam bahasa kebangsaan itu hendaklah lebih besar saiznya dan ditonjolkan dari segi penekanan visual dan kedudukan berbanding dengan perkataan-perkataan dalam bahasa lain.

xiii) Bahan pencetakan promosi dan hebahan yang menggunakan bahasa lain mestilah membawa maksud yang sama seperti dalam bahasa kebangsaan.

xiv) Penggunaan Bahasa hendaklah sopan dan tidak mempunyai sebarang konotasi negatif.

xv) Bahan pencetakan promosi dan hebahan mestilah mematuhi standard grafik yang telah ditetapkan terutama dalam penggunaan dan perletakkan logo UTM. Identiti atau logo UTM perlu jelas dan diberi keutamaan dengan dibezakan saiznya atau perletakkannya di tempat utama dalam bahan pencetakan promosi dan hebahan berbanding dengan logo-logo penganjur, penaja atau rakan usaha sama yang berkaitan.

xvi) Muka taip dan saiz huruf yang digunakan mestilah sesuai dengan mesej yang ingin disampaikan. Tidak digalakkan menggunakan lebih daripada 2/3 jenis fon tetapi saiz font boleh dibezakan mengikut kepentingan maklumat yang hendak disampaikan.

xvii) Warna adalah penting untuk menentukan keupayaan maklumat yang disampaikan berjaya atau tidak. Warna kontra adalah untuk menarik perhatian dan memudahkan maklumat yang ingin disampaikan terbaca (ketakterbacaan atau dibaca secara tidak sengaja). Huruf-huruf dan latar belakangnya mestilah kontra dari segi bentuk dan warna.

xviii) Pastikan reka letak iaitu susunan persembahan ilustrasi dan penggunaan huruf dan ruang adalah bersesuaian. Elakkan dari menggunakan ruang yang terlalu rapat antara huruf kerana mesej akan sukar dibaca kerana ianya akan kelihatan seperti bercantum (merge) dan semak/bersepah (clutter).

xix) Kos pencetakan bahan promosi dan hebahan mestilah mengambil kira capaian penerbitan (publication reach), bilangan pembaca dan kualiti bahan penerbitan dan keterbacaan bahan pencetakan promosi dan hebahan oleh khalayak sasaran.

  Panduan Menyediakan Bahan Promosi Dan Hebahan

(Sila layari corporateaffairs.utm.my/blog/2012/08/branding-items/ bagi mendapatkan contoh-contoh bahan promosi)

6.1      BANNER/BUNTING DAN PAPAN IKLAN

Ciri-ciri Banner/Bunting yang berkesan :-

 i)  Keterbacaan dan ketakterbacaan – Boleh dibaca dengan hanya sekali pandang atau mudah dibaca secara tidak sengaja. Hal ini bergantung pada penggunaan ayat dan ilustrasi yang ringkas dan menarik,
ii) Fokus – Tumpuan kepada mesej utama,
iii) Libatkan khalayak dengan mencipta dialog dan bukan monolog,
iv) Susunan reka letak mengikut tulisan abjad “Z” (kiri atas ke kanan bawah) dan susunan ilustrasi dan huruf yang sesuai akan menambah daya tarikan kepada khalayak,
v) Penggunaan warna haruslah kontra dengan warna persekitaran supaya banner/bunting dan papan iklan tersebut menjadi tumpuan utama apabila dipandang,
vi) Gunakan imej yang dominan dan elakkan dari menggunakan imej yang kompleks,
vii) Serlahkan jenama dan jelaskan identiti korporat pengeluar maklumat dan maklumat untuk dihubungi,
viii) Saiz dan ketinggian banner/bunting dan papan iklan mestilah sesuai dengan jarak penglihatan; dan
ix)  Lokasi yang strategik.

6.2      NOTIS/POSTER

Notis/Poster ialah reka bentuk grafik yang bertujuan untuk memberi maklumat, peringatan, berkomunikasi dan promosi barangan. Poster yang menarik mempunyai ciri-ciri berikut :-

i)              berupaya menarik perhatian orang ramai untuk membaca dan mengetahui maklumat lanjut,

ii)             berupaya menyampaikan mesej dengan cepat dan berkesan; dan

iii)           huruf atau muka taip dan ilustrasi berkaitan dengan maklumat utama yang ingin disampaikan dinyatakan dalam bentuk yang ringkas dan jelas.

Maklumat yang biasa terdapat dalam poster adalah seprti berikut :-

i)              Tajuk utama,

ii)             Penerangan ringkas/ cogan kata / slogan,

iii)           Ilustrasi atau gambar; dan

iv)           Identiti Korporat, nama pihak pengeluar maklumat dan alamat untuk dihubungi, jika perlu.

 

6.3      BROSUR/RISALAH

Brosur/Risalah ialah reka bentuk iklan yang biasanya digunakan untuk memberi maklumat dan penerangan tentang sesuatu barangan atau perkara untuk tujuan promosi.

Dalam merekabentuk risalah, perkara-perkara berikut perlu diberi perhatian :-

i)              Penentuan tajuk dan tema,

ii)             Penyediaan teks penerangan untuk maklumat yang berkaitan dengan tajuk,

iii)           Lakaran ilustrasi yang sesuai dengan tajuk dan tema. Ilustrasi hendaklah mempunyai mesej yang jelas dan mudah difahami,

iv)           Pemilihan reka bentuk huruf dan kapsyen (caption) bagi ilustrasi yang sesuai,

v)            Pemilihan warna huruf dan ilustrasi; dan

vi)           Lipatan risalah mengikut reka bentuk risalah.

6.4      IKLAN DI MEDIUM PERCETAKAN

Sebelum menyediakan sesebuah iklan, perkara berikut perlu dipertimbangkan supaya mesej yang disampaikan menepati sasaran pembaca (target audience) yang telah dikenalpasti seterusnya memberi jaminan pulangan yang diharapkan (ROI) :-

i)                    Objektif dan hala tuju universiti untuk meningkatkan daya saing sebagai destinasi pilihan utama pelajar cemerlang dan pelajar antarabangsa, menarik staf kompeten, jaringan dan hubungan industri dan antarabangsa untuk mencapai sasaran World Class University.

ii)                   Objektif dan hala tuju penjenamaan universiti untuk memartabat UTM berjenama Global,

iii)                 Fokus – tumpuan kepada mesej utama

iv)                 Libatkan khalayak (engaging the audience) dengan mencipta dialog dan bukan monolog,

v)                  Compelling insight dan peluang di UTM yang dapat memberikan faedah bersama dan akan dinikmati pihak pengguna,

 

vi)                 Serlahkan jenama dan jelaskan identiti korporat pengeluar maklumat dan maklumat untuk dihubungi,